TERJEMAH-TRANSLATE

Melayu-English-Melayu

RAYUAN KEMANUSIAAN ISLAMIC RELIEF GAZA

Posted by Naim Jalil di 7 Januari 2009

IslamicReliefLogo

(LAPORAN SITUASI No.6, 4 JANUARI 2009)

Situasi Terkini

Seperti yang dijangkakan, PBB memberi amaran bahawa krisis kemanusiaan bakal meruncing dan menganggarkan 25% dari 485 rakyat Palestin yang dibunuh oleh operasi angkatan tentera Israel sejak 8 hari lalu adalah orang awam, manakala Jerusalem Post pula menganggarkan, jumlah mangsa yang terkorban kini telah menjangkau lebih 500 orang.

Menurut BBC, serangan ini adalah yang terburuk di Gaza sejak tahun 1967 berdasarkan angka kematian di kalangan rakyat Palestin dan skala bedilan yang dilancarkan Israel. Setakat hari ini, Ahad, 4 Januari 2009 bekalan air tiada, gas memasak tiada, elektrik tiada, harapan di Semenanjung Gaza juga tiada.

Walaupun Anggota Keselamatan PBB masih gagal menyerahkan resolusi berhubung krisis ini, banyak pihak telah tampil menyatakan keprihatinan mereka terhadap penduduk Gaza. Pesuruhjaya untuk Bantuan Kemanusian dan Pembangunan Kesatuan Eropah, Louis Michel berkata, “Sejuta setengah orang bersesak-sesak dalam satu kawasan seluas lebih sedikit sahaja dari satu peratus keluasan Belgium. Mereka bergantung kepada bantuan luar untuk terus hidup dan, dengan hari-hari yang berlalu tanpa perkembangan positif, mereka semakin terdesak.”

Memang betul, sebelum bermulanya serangan darat, beberapa trak membawa bekalan, walaupun jauh dari cukup untuk memenuhi keperluan penduduk Gaza, telah dibenarkan memasuki Gaza. Tiada bahan api memasuki wilayah ini dalam seminggu telah menimbulkan kegusaran yang teramat kepada semua, terutamanya mereka yang terlantar di hospital dan klinik.

Status Keselematan IR (sehingga 4 Januari 2009)

Semua aspek keperluan untuk terus hidup, atau lebih tepatnya, untuk terus ‘wujud’, menjadi lebih mencabar bila serangan darat Israel bermula pada petang 3 Januari. Kereta kebal dan kereta perisai yang menjarah bumi Gaza hanya menambah perit dan getir, ditambah pula dengan bedilan dari udara dan laut yang tak kunjung henti.

Islamic Relief (IR) meneruskan usaha bantuan dari pinggir Kota Gaza (minggu lalu petugas dan kelengkapan asas telah dipindahkan dari pejabat IR di Rimal sebagai langkah keselamatan). Ini membolehkan IR terus berkerja dan mengagihkan bantuan walaupun serangan udara berterusan selama seminggu. Usaha mengenalpasti keperluan, menyediakan senarai penerima, mengendali urusan penghantaran dan menghantar bantuan menjadi sangat merbahaya bila sepanjang minggu dihujani bedilan, tetapi IR tetap giat membantu penduduk Gaza, walhal agensi bantuan lain, tempatan mahu pun antarabangsa telah menghentikan sebahagian atau pun sepenuhnya operasi mereka.

Malangnya, bila serangan darat bermula, semuanya berubah. IR cuba mengagihkan bahan makanan dan bahan bukan makanan di Khan Younis hari ini tetapi disekat dari memasuki kawasan terbabit akibat langkah pengezonan wilayah Semenanjung Gaza oleh pihak tentera Israel. Biar pun terhalang, petugas IR sentiasa sibuk dengan panggilan telefon, mencari jalan untuk membolehkan pengagihan ini dan aktiviti-aktiviti pengagihan akan datang diteruskan.

Kesihatan

Hospital-hospital di Semenanjung Gaza masih tetap kekurangan bekalan berikutan sekatan yang dikenakan ke atas wilayah tersebut sejak 19 bulan yang lalu, jadi mereka tidak cukup sedia utuk menerima terlalu ramai mangsa serentak. Bilik-bilik hospital sentiasa melimpah dan ubatan penting sentiasa kekurangan dan ubat bius pula hampir habis. Hospital dan klinik kekurangan kakitangan dan tidak mampu menangani bilangan mangsa tercedera yang ramai dan berterus-terusan, mengikut kenyataan rasmi pegawai di hospital utama di Semenanjung Gaza.

Pasukan penilai keperluan IR berkerjasama dengan MoH dan agensi bantuan lain di Gaza untuk memantau dan menilai keperluan hospital dan penyedia khidmat kesihatan utama. Setakat ini, hospital-hospital masih belum mampu menangani bilangan mangsa yanga begitu ramai dalam masa yang singkat. 50% ambulan gagal berfungsi dengan baik kerana ketiadaan alat ganti.

“Kami keputusan bekalan 105 jenis ubat dan kekurangan 225 jenis bahan pakai-buang,” kata Menteri Kesihatan Semenanjung Gaza. Berdasarkan kedaan bekalan perubatan yang kronik akibat sekatan sebelum ini (perlatan perubatan, perkakasan dan ubat-ubatan), kini keperluan menjadi semakin mustahak dan kritikal.

Laporan WHO menyatakan, daripada 27 hospital di Gaza, 13 hospital diurus oleh MoH (kapasiti 1,500 katil) dan selebihnya hospital swasta dan NGO (kira-kira 500 katil). Dari 56 pusat khidmat kesihatan di Gaza, 24 darinya dikhaskan sebagai pusat kecemasan. Jumlah bahan api di hospital-hospital ini hanya cukup untuk operasi selama 1.5 hingga 14 hari, atau secara puratanya, 5 hari.

Kini, ada pembedahan penting yang terpaksa dijalankan tanpa menggunakan sebarang ubat bius kerana ketiadaan bekalan. Janakuasa pula ketiadaan bahan api untuk berfungsi dan menjalankan mesin penyelamat nyawa. Hanya sebilangan kecil sahaja bantuan kecemasan yang dapat memasuki Semenanjung Gaza dan diagihkan ke hospital-hospital sepanjang beberapa hari yang lalu bagi menghindari bahaya logistik akibat serangan udara.

Bekalan Elektrik

Bekalan elektrik sudah tiada di Semenanjung Gaza untuk beberapa hari. Sudah berminggu tiada bekalan bahan api untuk janakuasa sokongan atau pengangkutan atau petrol untuk kenderaan persendirian dibenarkan memasuki Gaza.

Bekalan Air dan Pembentungan

Serangan udara membuatkan sistem yang sudah sedia uzur tidak dapat berfungsi lagi.

Bekalan Barang Keperluan

Dengan bermulanya serangan darat, trak-trak bantuan kemanusiaan tidak lagi dapat memasuki Semenanjung Gaza sejak hari Sabtu.

Kemudahan Perbankan

Bank-bank di Gaza tutup dan mesin ATM sudah kehabisan tunai sejak berminggu-minggu yang lalu. Pemindahan wang diharapkan dapat dibuat di Tebing Barat untuk memudahkan urusan pembelian dan pemerolehan bahan bantuan kemanusiaan.

Media

Pasukan Pengarah dan Media IR Palestin telah muncul di media cetak dan elektronik termasuk di BBC, BBC Online, SKY TV, The Guardian dan Times. BBC Online mendapatkan berita terus dari diari online seorang petugas IR dan sering menghubunginya melalui telefon untuk memperolehi maklumat terutamanya berkenaan situasi terkini aspek kemanusiaan. Petugas Media IR juga telah menyediakan sebuah dokumentari sepanjang 20 minit yang memaparkan aktiviti-aktiviti IR sejak krisis ini bermula.

1. Diari petugas Islamic Relief, Hatem al-Shurrab, Gaza di BBC: http://news.bbc.co.uk/2/hi/middle_east/7802295.stm
2. Diari video Hatem al-Shurrab di The Guardian, UK:http://www.guardian.co.uk/world/video/2009/jan/02/gaza-video-diary


Usaha-Usaha Islamic Relief (sehingga 4 Januari 2009)

Sejak hari pertama serangan udara, IR menyediakan bekalan perubatan untuk stor-stor hospital termasuk peralatan penting seperti jarum suntik, sarung tangan pakai-buang, tiub oral dan pembalut luka. IR turut membekalkan stor-stor hospital ini dengan empat trak besar makanan yang sangat diperlukan oleh pesakit dan keluarga mereka. Secara ringkasnya, usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh IR sejak lapan hari yang lalu adalah:

  1. Enam jam selepas serangan udara bermula, IR berjaya menyalurkan lima trak bekalan perubatan (bernilai USD126,000) ke hospital-hospital yang memerlukan.
  2. IR menyediakan peralatan hospital seperti: span makmal, gauz, VICRYL, jarum hiperdermik, splint kramer, sarung tangan latex bersteril untuk pembedahan, tiub oral endotrakeal dan juga pembalut luka dan plaster luka dalam pelbagai kuantiti dan saiz.
  3. Pasukan IR turut menyelaras usaha-usahanya dengan INGO dan agensi-agensi PBB di Gaza. Wakil WHO memaklumkan IR dan agensi-agensi bantuan yang lain bahawa pihak berkuasa Israel telah memberi kebenaran kepada WHO untuk menyelaras semua bentuk bantuan kemanusiaan dari setiap agensi. Ini bermakna IR boleh membeli barangan bantuan dan membawanya ke Gaza dengan kerjasama WHO.
  4. IR mengekalkan hubungannya dengan pembekal di luar Semenanjung Gaza dan menyelaraskannya dengan WHO.
  5. Pasukan pemerolehan IR telah menganggar kuantiti makanan yang terdapat di pasar-pasar tempatan. Kajian ringkas dan kertas cadangan telah disiapkan.
  6. IR telah mengeluarkan arahan pembelian kepada pelbagai pembekal di luar Semenanjung Gaza dan barang-barang; termasuk bahan perubatan pakai-buang, peralatan perubatan, makanan, dan bahan bukan makanan, sedang dalam perjalanan ke gudang-gudang IR dan pusat-pusat pengagihan.
  7. IR telah mengagihkan 1000 selimut ke hospital-hospital pada 31 Disember 2008.
  8. IR turut membantu NGO penyedia perkhidmatan kesihatan yang memerlukan peralatan perubatan, bahan pakai buang, dan ubatan memandangkan MoH kerap merujuk kes ke sana. Antara NGO penyedia khidmat kesihatan di Gaza ialah Palestinian Friends Benevolent Society (PFBS), Palestinian Medical Relief Society (PMRS), Union of Health Works Committees UHWC and Dar Asalam Hospital.
  9. IR memulakan tumpuan ke atas aktiviti sokongan mengikut kehendak Kementerian Kesihatan (MoH) seperti menyumbang makanan untuk pesakit di hospital dan selimut juga untuk pesakit hospital yang sangat memerlukannya dalam cuaca dingin ini. IR telah membeli dan mengedarkan barangan berikut ke hospital-hospital di Gaza:
    • Makanan Hospital: USD90,000
    • Bekalan Perubatan: USD126,000
    • Selimut: USD35,000
———————————————————————————————————-
Diterbitkan oleh IRM. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi En. Iskandar Syah Ismail
Tel: 03-89487339, Fax: 03-89487339 atau Emel: iskandar@irm.org.my

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: